Raih ganjaran besar Ramadan



​​


Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama



BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 1 Februari. - Bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa dengan tawaran dan ganjaran yang besar daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Setiap detik sepanjang bulan Ramadan adalah sebaik-baik masa untuk memperbanyakkan amal ibadah.


Dalam sebuah hadis, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosanya yang telah lalu". (Riwayat Al-Bukhari).


Hadis ini menjelaskan kelebihan menghidupkan bulan Ramadan, namun keampunan dosa yang dijanjikan itu terikat dengan syarat keimanan dan syarat mengharapkan pahala.


Demikian antara inti pati tazkirah disampaikan oleh Imam Tingkat III, Masjid Kampung Danau, Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Abdul Hadi bin Abd. Rahman dari Masjid Kampung Penanjong, Tutong bagi menyerikan Program Malam Munajat anjuran KHEU Kali Ke-217 yang diadakan baru-baru ini.


Menurut Awang Abdul Hadi lagi, dengan keimanan bermaksud mempercayai janji Allah Subhanahu Wata'ala, keutamaan Qiyam dan meyakini besarnya ganjaran yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.


Manakala tambah beliau, mengharap pahala bermaksud mengharapkan ganjaran dan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala dan tidak melakukannya dengan riyak, pujian atau sanjungan manusia.


Dalam menyambut bulan Ramadan ujarnya lagi, tiga niat dan azam perlu disemai iaitu pertama, kita hendaklah menzahirkan kegembiraan atas kedatangan bulan Ramadan dan kedua, hendaklah memperbanyakkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana masih diberi kesempatan untuk bertemu bulan Ramadan yang mulia ini serta ketiga, memperbetulkan niat agar setiap ibadah dilakukan dengan penuh keikhlasan.


Hadir bagi sama-sama menyemarakkan lagi program tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.


Atur cara Program Malam Munajat tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pegawai Pemantau Zon 3 Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Muhammad Amin bin Haji Salim dari Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqi'ah beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Mohammad Fakhri bin Haji Ibrahim dari Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Selatan, Seria, Belait.


Doa Munajat dibacakan oleh Pemangku Pegawai Pemantau Zon 2 Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Mohammad Zahid Zakwan bin Haji Said, dari Masjid Kampung Bengkurong.


Selesai tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah oleh Ahli-ahli Kumpulan Belia Masjid Ashabul Haliim dari Masjid Pengiran Muda 'Abdul Malik, Kampung Tungku Katok. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Tingkat III, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Norezam bin Haji Zaini dari Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong.


Turut hadir secara maya, Ahli Jawatankuasa Takmir dan para jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja KHEU dan juga individu yang mengikuti program ini dari kediaman masing-masing.


Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.


Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut : 'http://tiny.cc/munajatkheu'.


Close